Saturday, 16 May 2020

Wahai Suami, Hargai Isteri Kamu Kerana Jasanya Tidak Ternilai


Kita selalu melabelkan isteri sebagai seorang yang banyak cakap, suka berleter, cemburu buta, suka mengongkong tingkah laku dan mengawal pergerakan si suami. Itulah isteri, satu-satunya manusia yang akan sentiasa bersama kita susah senang, suka duka, walaupun pada masa itu semua orang membenci kita, tetapi isteri tetap ada disamping kita.

Kekurangan pasti ada pada setiap manusia, begitu juga isteri. Kita selalu mengharapkan seorang isteri yang solehah, taat pada suami, tidak melawan dan meninggikan suara ketika bercakap. Dia juga manusia biasa, tidak terlepas dari melalukan kesilapan. Sebaliknya pandanglah diri sendiri, bagus sangatkah kita, sedarlah semua itu tanggungjawab si suami untuk menjadikan isteri solehah seperti yang kita idamkan.

Seorang isteri tinggi jasanya dalam sesebuah rumahtangga. Dia menjaga anak-anak kita seorang diri semasa ketiadaan kita tanpa kita perlu rasa bimbang. Dengan memberi penuh kasih sayang kepada anak-anak kita tanpa mengharapkan bayaran dan balasan. Tanggungjawab isteri takkan mudah untuk dipikul oleh suami seorang diri.

Berapa ramai diluar sana kehilangan isteri, hidup mereka terumbang ambing. Anak-anak tidak terjaga dengan baik, makan minum pakai apatah lagi. Menggunakan khidmat pengasuh tak semudah itu, tambahan lagi kita selalu lihat banyak kes dera yang dilaporkan saban hari. Walaupun kita membayar kepada mereka untuk menjaga anak kita semasa kita sibuk bekerja, perasaan risau pasti ada.

Wahai Isteri,
Jasamu Sungguh Tinggi,
Kasihmu Tidak Berbelah Bagi,
Lukamu Sembuh Sendiri,
Hilangmu Tiada Pengganti.

Hargai lah isteri kamu, jaga dia sebaik mungkin kerana tanpa dia kita bakal menghadapi kesusahan. Janganlah selalu ambil hati dengan kata-kata isteri, kadang ia baik untuk kita. Saya suka dengan klip video dari seorang Ustaz, Ustaz itu selalu mengingatkan si suami, kita harus melayan isteri seperti mana kita melayan kanak-kanak. Mereka ingin dibelai, dimanja, itulah sifat semulajadi seorang isteri. Kerana dia amanah, yang dipertanggungjawabkan kepada suami untuk membimbing, menjaga dan menyayangi.

No comments:

Post a comment

loading...